Thursday, March 16, 2006

Tertipu dan Tertipu

Malam tadi Pak Malau pergi ke Sedili kerana ada syarahan dari Ustaz Awang. Rupa-rupanya Ustaz Awang ni bukannya ustaz yang bertauliah, tapi dia pandai menyampaikan taklim. Khabarnya dulu belajar di pondok di Patani dan Kelantan. Beliau bekerja sebagai nelayan, dan amat disayangi oleh kenalan-kenalannya kerana pandai membimbing mereka kepada agama.

Dalam penyampaiannya Ustaz menerangkan:

"Antara Iblis dan Syaitan, tugas mereka berbeza. Iblis bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan manusia. Syaitan pula yang menjadi tentera Iblis ditugaskan untuk melalaikan manusia dari mematuhi perintah Allah. Sebaliknya Iblis tidak." kata Ustaz.

"Har macam mana ni Ustaz?" Pak Malau cepat-cepat menyahut.

Ustaz tersenyum, "Tuang-tuang," katanya. Dia orang Terengganu, jadi kadang-kadang masih tersasul juga sebutannya. "Syaitan melalaikan manusia. Mereka mengajak kita berhibur, misalnya. Atau membuaikan kita dengan mimpi yang seronok-seronok sehingga tertinggal solat subuh. Atau mereka mengajak kita menjadi malas, atau melakukan kemungkaran, seperti meminum arak dan berjudi. Hor, itu kerja Syaitan. Iblis pulak guana? Dia suruh kita solat. Katanya, solat banyak-banyak, tapi tunjuk-tunjuklah kepada orang ramai yang kita ni kuat bersolat. Derma banyak-banyak, kata Iblis, tapi hebahkanlah. Adakan publisiti. Atau pergi haji, tapi nunjuk-nunjuklah kepada orang ramai yang kita ni dah berkali-kali haji. Hor, Iblis menggalakkan kita jadi riyak. Dan riyak tu termasuk dalam dosa yang amat besar! Jadi niat kita bukan kerana Allah tapi untuk meriyakkan diri. Jadi ini syirik juga dan termasuk syirik besar. Kerana kita menyembah apa? Menyembah diri sendiri!"

Pak Malau tertunduk selepas mendengar penjelasan itu. Zaman muda-muda dulu kalau ke laut, beberapa kali telah meninggalkan solat dan puasa. Itu termasuk tertipu oleh Syaitan. Dan waktu ke solat Jumaat yang sekali sekala dulu, Pak Malau pakai elok-elok untuk aksi sikit. Dan itu pula di tipu oleh Iblis.

Adakah mencukupi sisa-sisa umur Pak Malau ini untuk menebus segala kelalaian itu? Jangan pulak selepas kau baca blog ni kau cerita kat Mak Malau. Nanti leterannya tak abis-abis pulak.

Anak-anak, ini pesan Pak Malau, "Jangan tertipu-tipu oleh Iblis dan Syaitan. Gunakan waktu sebaik-baiknya, dan jangan jadi leka dan cuai dan melakukan kemungkaran seperti Pak Malau."

5 comments:

zizie ali said...

baru balik dari bermusafir. bukan naik perahu kajang, tapi pacuan 4 roda.
sesudah lega urat saraf, singgah sejenak di teratak pak malau. dengar tazkirah pasal tipu daya iblis, syaitan. alhamdulillah.
sebelum pulang ke banglo mewah, selit poster sri mersing dalam mypicture folder.
tima kasih pak malau!

Ku Keng said...

Pak Malau. Tolong bagikan jampi serapah apa yang Pak Malau baca, kerana saya tak dapat buka blog saya sendiri. Nampok gayenye Blog Administrator pilih kasih. Ha ha. Dan ya, terima kasih di atas pesanan. Saya pun alpa juga, ada tatkalanya.

Sya said...

Pak Malau.. ayah saya selalu pesan .. jangan kerna takut menjadi riak maka kita tinggalkan yang wajib. wallahualam

Pak Malau said...

Zizie: Lain kali bila pergi 4x4, semasa turun bukit, freekan gear untuk berjimat minyak. Terima kasih kembali Zie. Itulah saja yang ada dalam simpanan Pak Malau.

Keng: Ada jampi serapahnya. Tapi kena datang menuntut. Mesti waktu bulan mengambang. Hai sebut bulan mengambang, teringat pula lagu "Pak Ngah balik.."

Sya: Itu dalam maknanya. Kalu ayah masih hidup, belajar darinya. Untung dunia akhirat.

Dr. Nurul: Hari tu semasa Pak Malau lihat kereta kamu masih ada di pejabat, dah rasa dah dalam hati, mesti terlewat 'asar. Bagi nomor talipon kat Pak Malau, boleh Pak Malau talipon lain kali untuk pesankan.

Princess M: Hai ini orang jauh. Terima kasih kerana datang menjengok. Ya begitulah yang Pak Malau belajar. Semoga ada manfaat untuk semua.

Pak Malau said...

Princess m: Alhamdulillah. Mak Banunkau tu sehat. Adalah sakit sikit-sikit. Maklumlah orang tua, lutut dah sakit-sakit dan pendengaran pun dah tak baik. Raya nanti datanglah ziarahi dia. Bawak epal jepun ya.