Tuesday, October 10, 2006

Laila oh Laila

Sabda Rasululullah sollahi alaihi wassalam, bahawa malam al Qadr berlakunya pada satu malam dari hari yang ganjil, daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia itu pada 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadhan. Bagaimana untuk mencari malam ini?

Mengikut petua Hujjatul Islam Imam Al Ghazali bahawa sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari:

    1. Ahad atau Rabu: - malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan;
    2. Isnin: - malam Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan;
    3. Selasa atau Jumaat:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan;
    4. Khamis:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan;
    5. Sabtu:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan
Berdasarkan kepada petua di atas, insya Allah Lailatul Qadar pada tahun ini, sekiranya dikira permulaan Ramadhan pada hari Sabtu (mengikut kiraan hisab), akan jatuh pada malam ke 23 Ramadhan. (Kita di Malaysia bermula puasa pada Hari Ahad akantetapi Negara-negara Teluk dan Saudi Arabia mula berpuasa pada Hari Sabtu).

Tetapi ini tidaklah bermakna bahawa kita mesti menghidupkan hanya malam tersebut. Teruskan untuk mencari malam Qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

    1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
    2. Siang keesokan harinya pula warna cahaya matahari akan kelihatan pucat;
    3. Pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
Pak Malau ingin berpesan supaya kita beramai-ramai menghidupkan suasana sepuluh malam terakhir Ramadhan dan mudah-mudahan kita akan dikurniakan dengan kelebihan Lailatul Qadar. Fadhilat malam ini adalah pahala yang diganjarkan seperti ibadat yang diterima Allah SWT selama 1000 bulan atau 83 tahun. Itulah keistimewaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada ummat Muhammad, disebabkan jangka umur ummat Muhammad pendek berbanding dengan ummat nabi-nabi lain.

Oh Lailatul Qadar aku merinduimu, dan sangat mengharapkan kehadiran mu.

Selamat mencari Laila.