Friday, July 21, 2006

sms


Maka bertaburanlah mesej-mesej pendek - sms - yang dihantar ke seluruh pelusuk negara tentang City dan 2nd hand Tiara; tentang jenama baru bernama Era, dan tentang bakal-bakal anak tiri. Bergelak ketawalah penerima dan sepantas kilat menghantar pula kepada yang lain yang sudah tentu telah menerima sms yang serupa.

Seronok. Menjadikan isu yang kini hangat sebagai bahan ketawa.

Pak Malau tak meminati sesiapa. Hanya mau mengingatkan bahawa dalam kitab Ihya 'Uluumid-din karangan hujjatul Islam Imam al Ghazali, beliau berpesan bahawa bercakap-cakap di belakang seseorang mengenainya, meskipun baik sekalipun dan sekiranya tuan punya badan tak ingin dihebahkan, adalah MENGUMPAT. Apatah lagi yang tak baik. Dan dalam al Quran, Allah SWT bertanya, "Adakah kamu ingin memakan daging saudaramu sendiri pada hari kiamat?" Sau amaran keras yang ditujukan kepada pengumpat-pengumpat. Dosa mengumpat pula hanya boleh dihapuskan oleh tuan punya badan yang diumpat.

sms yang bertaburan membawa dua keburukan:
  1. Menceritakan hal yang tak benar;
  2. Menjadikan bahan ketawa.
Jadi bagaimana? Semoga tuan-tuan punya badan yang telah diumpat dalam sms-sms yang bertaburan masakini, mengampuni kesemua yang terlibat.

Pak Malau sekadar mengingatkan sahaja.

Semoga Allah SWT mengampuni kita semua dengan keberkatan yaumul Jumaat al barkah ini.

Saturday, July 08, 2006

Kemampuan yang hebat

Ingin Pak Malau memaklumkan secebis riwayat dari Anas r.a., yang menyampaikan bahawa Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam bersabda:

KETIKA Allah telah menciptakan bumi dan bumi selalu bergerak, maka Allah pun menciptakan gunung-ganang dan meletakkannya diatas bumi, sehingga terhentilah gerakan dan goncangan bumi. Maka kagumlah para Malaikat.

Seraya mereka berkata, "Ya Allah, apakah ada dari ciptaan Mu yang lebih hebat dari gunung-ganang ini?"

Allah menjawab, "Ya ada, ia itu besi."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari besi?"

Allah menjawab, "Ya ada, ia itu api."

Para Malaikat bertanya lagi, "Ya Allah, apakah ada yang lebih hebat dari api?"

Allah menjawab, "Ya, ada, ia itu air."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari air?"

Allah menjawab, "Ya ada ia itu angin."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari angin?"

Allah menjawab, "Ya ada ia itu keturunan Adam, yang memberikan sesuatu derma dengan tangan tangannya dan merahsiakan dari tangan kirinya, maka dia lebih hebat dari angin."
Dan ingin Pak Malau samapaikan pesanan guru-guru Pak Malau dulu. Jangan tunggu hendak berderma hanya apabila ada mempunyai wang. Derma bolih dalam apa bentuk sekalipun, sama ada fikiran, nasihat, tenaga atau hartabenda.



Begitulah yang Pak Malau mampu dermakan kepada anak-anak kali ini.