Thursday, March 30, 2006

rata-rata

Pak Malau sering memerhatikan. Ada orang yang boros dengan air dan ada yang kedekut pula dengan air. Maksud Pak Malau, air wudhuk.

Yang boros dengan air tu, mengambil wudhuk macam nak mandi anak gajah. Dan yang kedekut tu, langsung tak guna air. Hanya lalu-lalu aje, menggunakan kebasahan pada tangan dia untuk membasuh beberapa anggota. Kedua-dua tak betul. Sabda Rasul, gunakan air dengan cermat hatta kamu mengambil wudhuk dalam sungai sekalipun.


Tapi yang merungsingkan Pak Malau adalah tentang anggota yang dibasuh. Kuku yang panjang dan berdaki, tak dibersihkan dulu. Mana nak rata air wudhuk. Muka yang di sapu tak mengenai ruang muka sepenuhnyha, iaitu membasahi keseluruhan muka hingga ke tepi telinga dan ke bawah dagu dan keatas dahi hingga ketepi rambut;
membasuh telinga tak merata hingga ke sepenuhnya, dan membasuh kaki dengan tidak melalui air di celah jari-jari kaki dan sehingga ke paras buku lali. Juga banyak yang tak ketahui di mana pangkal lengan.


Maka kalau Pak Malau tegur budak-budak, mereka tak marah. Tapi ramai juga yang sebaya dengan Pak Malau pun serupa juga. Alahai, kalau tak menjaga wudhuk, macam mana nak sah solat.

Friday, March 24, 2006

Cepu emas

Kadangkala Pak Malau berfikir tentang bagaimana kita terlupa akan keuntungan yang Allah SWT telah menganugerahkan kepada kita. Hari Jumaat yang dinamakan juga sayyidul ayyam atau penghulu segala hari-hari, termasuk dalam senarai hari-hari yang mempunyai martabat yang tinggi.

Hari yang termasuk hari-hari yang menjadi afdhal untuk melakukan perkara-perkara yang bermanfaat seperti bersedekah misalnya. Tetapi kerana Jumaat datang, pergi dan datang tanpa putus-putus setakat ini, maka kita terlupakan atau melupakan keistimewaannya. Mandi pagi dengan niat kerana mengambil kesempenaan kebesaran hari Jumaat, dijanjikan pahala. Berpakaian elok untuk meraikan hari Jumaat, juga dijanjikan pahala. Awal ke masjid untuk berJumaat, juga dijanjikan habuan 'sebesar unta'. Dan banyak lagi.

Dan Allah SWT juga telah menganugerahkan kepada kita, satu ketika pada hari ini pada mana doa-doa dimustajabkan. Waktu itu adalah selepas 'Asar. (Jadi anakku, Nurul, jangan lupa solat awal-awal dan berdoa yang lama-lama ya!)

Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allhaumma solli wassolim 'ala sayiddina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.
Allahumma solli wassolim 'ala sayyidina Muhammad.

Alhamdulillah itulah sepuluh kali solawat yang telah dibacakan untuk junjungan kita Muhammad sollallahi 'alaihi wa aalihi wassalam.

Diriwayatkan dalam hadith Qudsi apabila seorang ummat membaca sekali solawat maka malaikat akan membawa bacaan tadi kepada Rasulullah dan beliau akan bertanya, "siapa anak siapa yang telah bersolawatkan kepadaku?" Begitulah pertalian yang dapat kita adakan dengan Rasululullahi sollallahi 'alaihi wa aalihi wassalam.

Adakah akan dilepas peluang ini dengansebegitu senang terutama pada sayyidul ayyam ini?

Thursday, March 16, 2006

Tertipu dan Tertipu

Malam tadi Pak Malau pergi ke Sedili kerana ada syarahan dari Ustaz Awang. Rupa-rupanya Ustaz Awang ni bukannya ustaz yang bertauliah, tapi dia pandai menyampaikan taklim. Khabarnya dulu belajar di pondok di Patani dan Kelantan. Beliau bekerja sebagai nelayan, dan amat disayangi oleh kenalan-kenalannya kerana pandai membimbing mereka kepada agama.

Dalam penyampaiannya Ustaz menerangkan:

"Antara Iblis dan Syaitan, tugas mereka berbeza. Iblis bersumpah kepada Allah untuk menyesatkan manusia. Syaitan pula yang menjadi tentera Iblis ditugaskan untuk melalaikan manusia dari mematuhi perintah Allah. Sebaliknya Iblis tidak." kata Ustaz.

"Har macam mana ni Ustaz?" Pak Malau cepat-cepat menyahut.

Ustaz tersenyum, "Tuang-tuang," katanya. Dia orang Terengganu, jadi kadang-kadang masih tersasul juga sebutannya. "Syaitan melalaikan manusia. Mereka mengajak kita berhibur, misalnya. Atau membuaikan kita dengan mimpi yang seronok-seronok sehingga tertinggal solat subuh. Atau mereka mengajak kita menjadi malas, atau melakukan kemungkaran, seperti meminum arak dan berjudi. Hor, itu kerja Syaitan. Iblis pulak guana? Dia suruh kita solat. Katanya, solat banyak-banyak, tapi tunjuk-tunjuklah kepada orang ramai yang kita ni kuat bersolat. Derma banyak-banyak, kata Iblis, tapi hebahkanlah. Adakan publisiti. Atau pergi haji, tapi nunjuk-nunjuklah kepada orang ramai yang kita ni dah berkali-kali haji. Hor, Iblis menggalakkan kita jadi riyak. Dan riyak tu termasuk dalam dosa yang amat besar! Jadi niat kita bukan kerana Allah tapi untuk meriyakkan diri. Jadi ini syirik juga dan termasuk syirik besar. Kerana kita menyembah apa? Menyembah diri sendiri!"

Pak Malau tertunduk selepas mendengar penjelasan itu. Zaman muda-muda dulu kalau ke laut, beberapa kali telah meninggalkan solat dan puasa. Itu termasuk tertipu oleh Syaitan. Dan waktu ke solat Jumaat yang sekali sekala dulu, Pak Malau pakai elok-elok untuk aksi sikit. Dan itu pula di tipu oleh Iblis.

Adakah mencukupi sisa-sisa umur Pak Malau ini untuk menebus segala kelalaian itu? Jangan pulak selepas kau baca blog ni kau cerita kat Mak Malau. Nanti leterannya tak abis-abis pulak.

Anak-anak, ini pesan Pak Malau, "Jangan tertipu-tipu oleh Iblis dan Syaitan. Gunakan waktu sebaik-baiknya, dan jangan jadi leka dan cuai dan melakukan kemungkaran seperti Pak Malau."

Saturday, March 11, 2006

Kenangan


Zizie, ini Pak Malau hantarkan poster wayang untuk simpanan dalam khazanah silam kamu.

Dulu wayang-wayang Melayu berbahasa yang sopan. Menjadi ikutan pemuda-pemudi. Diakhiri persembahan dengan teladan. Themanya pula mengusik keadaan. Baik bangsawan dan yang bukan. Pak Malau pasti mungkin kamu ingat sesetengah-tengahnya. Bukan begitu Zizie?

Kini wayang, semata-mata hiburan. Tak tersirat apa-apa untuk dibuat ikutan. Mungkin yang menjadi idaman adalah untuk memilikki isteri yang cantik, ayu, sofistikat dan kebarat-baratan. Rumah-rumah yang gadang. Kereta-kereta besar yang tak ada masalah pembayaran bulanan. Begitu berkemajuan masyarakat sekarang.

Di sini Pak Malau mengimbas kembali kenangan. Dalam pondok yang usang. Ramai yang menyangkakan Pak Malau dah hilang ingatan. Tak keruan.

Friday, March 03, 2006

jejak-jejak

Jejak-jejak yang ditinggalkan mestilah membantu kita dan kepada yang mengikuti kita.

Biarlah ia menjadi pedoman dan kenangan yang baik. Bukannya membahayakan diri kita.

Jejak-jejak hidup yang akan membantu kita antaranya adalah anak yang soleh, ilmu bermanfaat yang disampaikan, sedekah jariah pada waktu sehat, amalan-amalan yang berguna, dan sumbangan fisabilillah.

Jejak-jejak di pantai ini akan terhapus oleh air dan waktu. Tetapi jejak jejak di atas akan berkekalan hingga ke alam akhirah.

Ingatlah amalan yang terbaik pada penghulu hari-hari, iaitu hari Jumaat, adalah sedekah jariah dan solawat kepada Rasulullahi sollallahu 'alaiahi wassalam.