Wednesday, April 26, 2006

Thoma'ninah


Pak Malau teringatkan satu pesanan yang amat berguna untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Yang berpesan kepada Pak Malau lama dulu, merupakan seorang tabib ilmu perubatan siddhi atau unani. Satu cabang perubatan yang tua dan berdasarkan kepada kaedah-kaedah perubatan Ibn Sinna. Tabib ini penjual kain di kampung. Berbangsa Pakistan. Tua tapi segak. Tak pernah Pak Malau dapat khabar yang dia ada mempunyaui penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis atau sakit jantung. Batuk pun tak pernah Pak Malau perasan. Tabib ni yang Pak Malau dapat khabar meninggal di kampungnya di Pakistan pada usia hampir 100 tahun. Itulah kesihatan yang Allah anugerahinya.

Pada suatu hari selepas asar, kami berbual-bual sambil berjalan-jalan di pantai untuk mengeluarkan peluh. Sewaktu berjalan dia berpesan, "Malau, kamu mesti jaga itu badan. Nanti sudah tua punya jam pun, kurang sakit."

"Macam mana Sab?" Pak Malau bertanya.

"Ingat. Minum makanan dan makan minuman." Jawab Tabib Sab.

Pak Malau berkata dalam hati, "Mungkin penguasaan bahasanya tak begitu baik jadi Sab ni keliru dengan penggunaan perkataan." Tapi apabila dia nampak Pak Malau senyap kerana berfikir, dia menambah lagi,

"Itu minum makanan, maknanya, kasi kunyah itu makanan lama-lama sampai jadi betul-betul hacur dan senang telan macam boleh minum."

"Oh begitu.. Dan makan minuman tu macam mana pulak?" Tambah Pak Malau kerana selain dari ketulan air batu, yang Pak Malau tau, mana ada air yang boleh dimakan?

"Ha itu makna, itu air, jangan terus telan. Kasi lama-lama dalam mulut, dan dikit-dikit. Sedut sikit-sikit macam itu air benda keras. Jadi itu air bila campur dengan kamu punya air lior, itu dia punya zat jadi lebih serasi." Sab lanjutkan keterangan.

Ini lama untuk Pak Malau hendak faham. Kerana kurang logik bunyinya. Jadi baru-baru ini sewaktu ada sedara Pak Malau yang jadi doktor di KL datang, Pak Malau pun tanyalah soalan yang telah terbenak dalam ingatan sebegitu lama.

"Oh Tok, sekarang ni, kajian dah menemui tentang kaedah untuk memastikan enzyme dalam air lior supaya lebih berkesan pada kita dengan cara, membiarkan peresapan yang perlahan-lahan. Air lior ni Tok,"beliau meneruskan, "banyak khasiatnya kerana Allah jadikannya sebagai aliran pembawa enzyme yang amat berkesan. Untuk pencernaan yang berkesan dan memastikan supaya zat makanan diterima badan dengan lebih baik. Jadi dalam air lior tu tak tentu ianya berkuman, melainkan kalau kita sedang sakit dan sebagainya."

Ah. Terang benderang seperti lampu torchlight. Barulah Pak Malau faham.

Jadi moral ajaran Sab adalah jangan gopoh gapah dalam kelakuan. Termasuklah jangan gopoh gapah dalam solat misalnya. Buat baik-baik dan teratur. Hidup mestilah berthoma'ninah.

Friday, April 14, 2006

Riadah Pernafasan

Di kalangan nelayan tradisional, juruselam selalunya pekak di darat tapi kuat pendengaran di dasar lautan. Bukan hanya dapat mendengar bunyi renang ikan, tapi dapat mengagakkan sekali jenis ikan dan sebesarnya mana kumpulan yang ada di dasar laut. Itulah keanihan pada mereka. Untuk membolehkan mereka lama menyelam, mereka selalunya pandai ilmu pernafasan.

Ini mengingatkan Pak Malau kepada teknik pernafasan lama yang terkenal di kalangan orang-orang Melayu, India dan Cina. Ia itu teknik pernafasan perut.

Kebiasaannya kita bernafas di dada. Itu tak menguatkan nafas batin kita kerana nafas itu tak mendalam. Cuba amalkan tarik nafas melalui hidung dan sedut hingga rasa ianya sampai ke perut. Perut dalam bahasa Arab adalah bathana, dan dari sinilah perkataan batin, diungkapkan dalam bahasa Melayu. Sewaktu menarik nafas, kira sepuluh. Kemudian tahan nafas di perut selama kiraan lima dulu. Selepasnya keluarkan nafas melalui mulut. Habiskan nafas dalam kiraan sepuluh. Ulang sepuluh kali dan panjangkan kiraan. Cuba pula dengan lidah menekan ke pangkal gigi barisan depan atau ke langit-langit. Bagaimana? Dengan cara ini lagi banyak nafas yang akan disedut ke dalam perut.

Teknik ini sekarang mula populer di USA sebagai cara untuk mengawal tekanan darah. Ramai pengidap hypertensi yang dapat menurunkan tekanan darah tinggi mereka dengan latihan ini. Selalunya dalam keadaan marah, kita akan dinasihatkan "Take a deep breath." Sebenarnya inilah kaedahnya untuk mengawal stress dan tension pada diri. Amalkan di tempat yang terbuka. Terbaik.

Pak Malau bukannya dukun atau bomoh. Tapi yang Pak Malau nak sampaikan adalah sewaktu bernafas ke dalam, zikirkan ALLAH dalam hati. Bayangkan bunyi nafas yang ditarik itu dengungannya bunyi ALLAAAAAAAAAAAAAAAAH. Sewaktu melepas nafas pula dengungkan HUUUUUUUUUUUU.

Itulah zikir pernafasan yang akan senantiasa bermain-main di kepala kita. Bukannya lagu-lagu Mawi atau Siti. Insha Allah.

Thursday, April 06, 2006

Alif

Dalam merenung keadaan masa yang begitu cepat berlalu, Pak Malau teringatkan satu hadith Qudsi yang mengatakan bahawa sekiranya manusia lalai dalam mengingati Allah ta'ala, maka Allah akan mengambil kembali waktu darinya tanpa disedari. Bermakna seseorang itu akan menjadi sibuk dengan dunia dan kepadanya waktu akan berlalu tanpa disedari; menjadi singkat dan pendek. Berlalu dengan senang sebegitu. Lihatlah betapa sibuknya manusia sekarang sehinggakan sewaktu dalam tandas pun masih jawab menjawab panggilan talipon bimbit. Alahai.

Leka. Ya, leka, itulah sebabnya.

Bagaimana agaknya cara untuk kita ingat memperingati sesama lain? Kalau dulu-dulu, peringatan dapat dibuat dalam bentuk syair dan gurindam, sebagai media untuk memberi nasihat dan membentuk semangat. Misalnya syair-syair Acheh yang diseliti dengan selawat, termasyhur sewaktu peperangan melawan Belanda dulu, telah berjaya dalam membakar semangat jihad pada jiwa pemuda-pemudi Acheh. Contohnya:

Jak tamurang hai boh atee;
mujak matee beuta ridha;
hudon adoe gulam beuda;
jak prang kaphee cang belanda.

yang berarti:

Pergi berperang hai buah hati(ku);
redhakan sekiranya mati akhirnya;
bangunlah dik, sandang senapang;
pergi perangi kafir belanda laknat ilahi.

Dalam khazanah budaya kita banyak terdapat syair nasihat yang masyhur, seperti Gurindam XII oleh Raja Ali Haji yang menjadi hafalan kanak-kanak di sekolah, sebagai panduan akhlak dan peribadi, serta juga syair-syair Hamzah Fansuri yang masyhur dengan panduan dan teladan untuk semua lapisan umur dan masyarakat; yang tersirat dalamnya ilmu tauhid yang dalam. Ada juga misalnya terdapat syair yang dikarang untuk mencatit peristiwa sejarah, seperti Syair Perang Makassar, yang sehingga kini menjadi bahan rujukan sejarah yang penting. Dan ada juga syair yang berdasarkan kepada cinta dan asyik ma'syuk, yang indah didengar tetapi tidak membawa mesej yang signifikant. Hanya dapat membakar semangat nafsu kerinduan kepada seseorang.

Pak Malau mengenangkan kehilangan budaya yang bernilai ini sebagai satu kerugian. Maka alangkah baiknya kalaulah anak-anak sekarang menghidupkan kembali budaya ini untuk menyampaikan mesej-mesej yang murni. Dan untuk menyesuaikan dengan keadaan gubahkan dalam rentak yang lebih komtemporari.

Ya, mengenangkan kembali kepada Seri Mersing dulu, teringatlah akan Pak Malau kepada dialog-dialog yang berbentuk gurindam dan seloka yang begitu halus tetapi tajam menusuk kalbu. Ahh, sebak pula rasanya dada, mengenangkan nasib Damak yang telah merajuk membawa diri, entah ke mana.

Anak-anak, berikut adalah syair yang menarik untuk tatapan dan kenangan bersama. Iaitu sebahagian daripada bait-bait Syair Alif Ba Ta karangan Hamzah Fansuri, penyair Aceh Darussalam yang masyhur dulu. Bacalah dan telitilah isinya. Alif Ba Ta, permulaan kata. Muqadimmah segala-gala. Awal kepada yang mula.


Awal syair Alif Ba Ta,
Dikarangkan oleh fakir yang lata,
Menghiburkan hati sangat bercinta,
Miskin tidak menaruh harta.

Ada pun terkarang syair,
Hamba duduk seorang berfikir,
Jangan sia-sia duduk membazir,
Bolehlah dibaca orang yang mahir.

Adalah karangan bukan cerita,
Boleh dibuat cermin mata,
Jikalau datang hati bercinta,
Bacalah tuan supaya nyata.

Apa yang tersebut Alif dimulakan,
Di bawah ini hamba huraikan,
Entahlah ya entahlah bukan,
Jikalau salah tuan maafkan.

Alif itu huruf yang tunggal,
Selamanya ia berdiri kekal,
Huruf yang lain tiada boleh membatal,
Alif juga yang memberi afdhal.

Alif berupa angka satu,
Sekalian huruf ia membantu,
Jikalau tiada Alif sekutu,
Sekalian diperbuat tiada tentu.

Alif itu huruf pertama,
Huruf yang lain tiada sama,
Allah Taala disebut nama,
Alif jua awal menjelma.

Awal Alif menyebut Tuhan,
Huruf yang lain bersalah-salahan,
Allah kurniakan mudah-mudahan,
Fikir dan Akal jangan berjauhan.

Habis ini tersebut itu,
Dari huruf Alif karangan tentu,
Jikalau datang berhati mutu,
Bacalah tuan satu persatu.


Ya Yeop, segalanya bermula seperti alif yang awal. Sebagai timsal, maka telitilah satu persatu akan cara-cara kita mengerjakan ibadah kita. Apa yang dipelajari sewaktu kanak-kanak dulu, mungkin lain pemahamannya. Lain tafsirannya. Ambilah peluang untuk meninjau kembali.

Sebagaimana Pak Malau sendiri. Baru sedar dan baru mencari. Baru tahu bahawa alangnya banyak yang tak diketahui.

Insha Allah sekiranya Rampai atau Zizie atau Loppies singgah di teratak Pak Malau ini, mereka akan membantu menafsirkan syair di atas.

p.s. Nurul, kamu masih demam lagi ke? Kalau ia, ambillah ubat dari Dr. Roza.


Penghargaan: Khat Alif, dari koleksi Ali Omar Ermes.