Wednesday, April 26, 2006

Thoma'ninah


Pak Malau teringatkan satu pesanan yang amat berguna untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Yang berpesan kepada Pak Malau lama dulu, merupakan seorang tabib ilmu perubatan siddhi atau unani. Satu cabang perubatan yang tua dan berdasarkan kepada kaedah-kaedah perubatan Ibn Sinna. Tabib ini penjual kain di kampung. Berbangsa Pakistan. Tua tapi segak. Tak pernah Pak Malau dapat khabar yang dia ada mempunyaui penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis atau sakit jantung. Batuk pun tak pernah Pak Malau perasan. Tabib ni yang Pak Malau dapat khabar meninggal di kampungnya di Pakistan pada usia hampir 100 tahun. Itulah kesihatan yang Allah anugerahinya.

Pada suatu hari selepas asar, kami berbual-bual sambil berjalan-jalan di pantai untuk mengeluarkan peluh. Sewaktu berjalan dia berpesan, "Malau, kamu mesti jaga itu badan. Nanti sudah tua punya jam pun, kurang sakit."

"Macam mana Sab?" Pak Malau bertanya.

"Ingat. Minum makanan dan makan minuman." Jawab Tabib Sab.

Pak Malau berkata dalam hati, "Mungkin penguasaan bahasanya tak begitu baik jadi Sab ni keliru dengan penggunaan perkataan." Tapi apabila dia nampak Pak Malau senyap kerana berfikir, dia menambah lagi,

"Itu minum makanan, maknanya, kasi kunyah itu makanan lama-lama sampai jadi betul-betul hacur dan senang telan macam boleh minum."

"Oh begitu.. Dan makan minuman tu macam mana pulak?" Tambah Pak Malau kerana selain dari ketulan air batu, yang Pak Malau tau, mana ada air yang boleh dimakan?

"Ha itu makna, itu air, jangan terus telan. Kasi lama-lama dalam mulut, dan dikit-dikit. Sedut sikit-sikit macam itu air benda keras. Jadi itu air bila campur dengan kamu punya air lior, itu dia punya zat jadi lebih serasi." Sab lanjutkan keterangan.

Ini lama untuk Pak Malau hendak faham. Kerana kurang logik bunyinya. Jadi baru-baru ini sewaktu ada sedara Pak Malau yang jadi doktor di KL datang, Pak Malau pun tanyalah soalan yang telah terbenak dalam ingatan sebegitu lama.

"Oh Tok, sekarang ni, kajian dah menemui tentang kaedah untuk memastikan enzyme dalam air lior supaya lebih berkesan pada kita dengan cara, membiarkan peresapan yang perlahan-lahan. Air lior ni Tok,"beliau meneruskan, "banyak khasiatnya kerana Allah jadikannya sebagai aliran pembawa enzyme yang amat berkesan. Untuk pencernaan yang berkesan dan memastikan supaya zat makanan diterima badan dengan lebih baik. Jadi dalam air lior tu tak tentu ianya berkuman, melainkan kalau kita sedang sakit dan sebagainya."

Ah. Terang benderang seperti lampu torchlight. Barulah Pak Malau faham.

Jadi moral ajaran Sab adalah jangan gopoh gapah dalam kelakuan. Termasuklah jangan gopoh gapah dalam solat misalnya. Buat baik-baik dan teratur. Hidup mestilah berthoma'ninah.

5 comments:

Sya said...

Pak Malau... itu menunjukkan dalam apa juga keadaan kita tak boleh tergocoh-gocoh atau gelojoh. Banyak yg kita akan rugi dan takkan mendatangkan kebaikan.

Bergen said...

Thank you for the advice, sir.

simah said...

great advice tapi susah nak ingat utk dipratikkan especially bila terlalu lapar...

NATO said...

pak..kalau tak keberatan.. brp ya umur bapak skrg? bukannya ape..nak buat research sikit..
adakah umur yg panjang kesan drpd kesihatan yg dijaga dgn sempurna?

tapikan pak..umur yg panjang tanpa kesihatan yg baik dan mengganggu ibadat harian..tak bagus jugak kan?!!..

Pak Malau said...

Sya: Pak Malau minta maaf kerana tak berkesempatan untuk memberikan komen kepada blog Sya. Cerita-cerita Sya sungguh bererti dan merupakan ajaran dan teladan yang baik untuk dijadikan sempadan diri. Terima kasih Sya kerana dapat manfaatkan dari penglaman Pak Malau.

BergenLikewise Bergen, I enjoy your entries. Very positive. Wish you well in getting a life partner. Book your blogs! Good collections.

Simah: Jangan tergopoh-gopoh. Keenakan dan kelazatan makanan timbul dari kunyahan yang perlahan.

Nurul: Sungai Sarawak mengingatkan Pak Malau kepada kenangan sewaktu muda. Orang Melayu Sarawak baik-baik. Menerima tetamu dengan penuh hurmat. Tak berjumpa ke di sana?

Mc Kay:Umur pak sama dengan pokok kelapa di tepi rumah. Pokok tu masih lagi berbuah. Muda sikit dari pokok durian di Masjid kampung.

Tentang ibadah yang terganggu; inilah penyesalan Pak Malau. Waktu muda dan sihat, kurang beribadat. Waktu tua dan sakit-sakit baru tau yang banyak ibadah dah tak dapat dilakukan dengan sempurna.

Berapa pula umur Mc Kay?