Thursday, May 11, 2006

Hati yang tak Minat



Asyik Ma'syuk, ungkapan Arab yang diMelayukan. Menandakan perbuatan yang penuh dengan konsentrasi dan perhatian yang timbul dari kesukaan atau kecintaan, hingga membuatkan seseorang lupakan keadaan di sekelilingnya. Kesukaan bermain dam misalnya, melekakan pemain sehingga terlupa untuk makan, minum dan mandi manda. Kecintaan kepada sesuatu seni sehingga tidak menjaga keadaan diri. Rambut berjerebeng dan pakaian tak tersalin. Tak menjadi apa-apa pada dirinya.

Kenapa semuanya timbul sebegini? Kerana kesukaan kepada sesuatu yang amat, sehingga seseorang itu dapat memberikan perhatian dan kosentrasi yang penuh. Tak hirau kepada gangguan atau keadaan sekeliling. Timbul dari minat yang medalam dalam hati sanubari.

Tapi, sikap ini tak kita terbawa dalam ibadat. Sebelum solat, kita dah istiharkan. "Hanya lima minit! Tunggu ya!" Tanda kesediaan untuk mengopohkan perbuatan. Kenapa kita hadkan kepada waktu, walhal dalam aktiviti lain, kita lupakan waktu? Semata-mata kerana minat yang bukan timbul dari kecintaan, tetapi dari kelakuan yang timbul dari kebiasaan atau paksaan.

Begitulah pesan Pak Malau kepada diri Pak Malau. Kalau dapat berjemur panas dan bermandi hujan ketika mengail; untuk hanya dapat menangkap seekor ikan dalam satu jam atau berjam-jam, tak pernah mengeluh atau terburu-buru. Tapi solat selalu dalam keadaan tergopoh-gapah kerana ada saja pekerjaan yang terlintas sewaktu mengangkat takbir, yang perlu disiapkan atau dihabiskan dengan penuh ketelitian. Dengan segera.

Begitulah. Kalau tak cinta untuk melaksanakan seruan Allah SWT bagaimana untuk mendapatkan kecintaan dari Allah SWT.

Ya Allah, aku mohonkan kekuatan hati dalam melakukan ibadat kepada Mu; dan kekhusyukan hati dalam perlakuan ibadatku.

7 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum Pak

Mohon keizinan untuk membaca tulisan di laman ini. Terima kasih untuk segala sesuatu yang baik.

Anonymous said...

Moga Pak Malau sentiasa sihat dan selamat. Juga moga dipanjangkan umur supaya dapat sentiasa berkongsi sesuatu yang baik dengan kami. Amin.
TQ

Bunga Rampai said...

Salam Pak Malau,
Terima kasih selalu mengingatkan.

zizie ali said...

semoga kita diberiNya hati yg khusyuk. Yang asyik dan maksyuk kpdNya. setiap ketika, disetiap tempat. di masjid, di tempat kerja, di tempat bermain. di alam nyata. di alam maya.
mudah-mudahan.
zizie sentiasa mengutip mutiara yg ditabur oleh pak malau.

Anonymous said...

Maksud Pak Malau, kealpaan. Anehnya Pak Malau sewaktu solat, otak kita dapat berfungsi untuk memikirkan pelbagai hal. Dapat membaca surah, sambil mengingatkan hutang hutang yang belum dibayar, sambil mengingatkan kepada panggilan talipon yang perlu dibuat. Semuanya serentak. Tapi keluar saja dari solat, tak dapat kita berfikir sebegitu.

Anggun said...

Terasa Anggun Pak Malau! Macam ada kawan cakap..kalau nak cuba ingat barang kita yang hilang letak kat mana..cuba solat..mesti ingat tengah solat..Astaghfirullah..Memanglah iman kita lemahkan..syaitan jam tulah nak ingatkan benda2 tu.

Anggun ambik ingatan ye Pak Malau..Syukran jazilan.

PS..Pak Malau..yang ade gambar orang cacat kat bawah word verification tu ape lak tu..Tak dengar pun word dia!

Pak Malau said...

Kim_Labu: Wa alaikumus salam. Izin terbuka kepada umum. Tanpa had dan tanpa sekatan. Marhaban.

nadya_my: Memang begitulah hasrat Pak Malau. Kongsi apa yang ada dan bagi apa yang bisa.

Zizie:Kutip dan sebarkan semoga kita bersama dikirakan sebagai petani yang telah menamam pokok yang bermanfaat berterusan.

Nurul: Bukan begitu maksud Pak Malau. Tegur untuk kebaikan dan terimalah untuk pembaikkan.

Yeop:Itu namanya Yeop, Solat Mind Mapping! Kalah Tony Buzan.

Anggun:Ingat segala sesuatu, baru dan lama, tapi terlupa rakaat berapa yang dimasukki!

Pak Malau dah buangkan keperluan verifikasi tu. Menyusahkan.