Thursday, April 06, 2006

Alif

Dalam merenung keadaan masa yang begitu cepat berlalu, Pak Malau teringatkan satu hadith Qudsi yang mengatakan bahawa sekiranya manusia lalai dalam mengingati Allah ta'ala, maka Allah akan mengambil kembali waktu darinya tanpa disedari. Bermakna seseorang itu akan menjadi sibuk dengan dunia dan kepadanya waktu akan berlalu tanpa disedari; menjadi singkat dan pendek. Berlalu dengan senang sebegitu. Lihatlah betapa sibuknya manusia sekarang sehinggakan sewaktu dalam tandas pun masih jawab menjawab panggilan talipon bimbit. Alahai.

Leka. Ya, leka, itulah sebabnya.

Bagaimana agaknya cara untuk kita ingat memperingati sesama lain? Kalau dulu-dulu, peringatan dapat dibuat dalam bentuk syair dan gurindam, sebagai media untuk memberi nasihat dan membentuk semangat. Misalnya syair-syair Acheh yang diseliti dengan selawat, termasyhur sewaktu peperangan melawan Belanda dulu, telah berjaya dalam membakar semangat jihad pada jiwa pemuda-pemudi Acheh. Contohnya:

Jak tamurang hai boh atee;
mujak matee beuta ridha;
hudon adoe gulam beuda;
jak prang kaphee cang belanda.

yang berarti:

Pergi berperang hai buah hati(ku);
redhakan sekiranya mati akhirnya;
bangunlah dik, sandang senapang;
pergi perangi kafir belanda laknat ilahi.

Dalam khazanah budaya kita banyak terdapat syair nasihat yang masyhur, seperti Gurindam XII oleh Raja Ali Haji yang menjadi hafalan kanak-kanak di sekolah, sebagai panduan akhlak dan peribadi, serta juga syair-syair Hamzah Fansuri yang masyhur dengan panduan dan teladan untuk semua lapisan umur dan masyarakat; yang tersirat dalamnya ilmu tauhid yang dalam. Ada juga misalnya terdapat syair yang dikarang untuk mencatit peristiwa sejarah, seperti Syair Perang Makassar, yang sehingga kini menjadi bahan rujukan sejarah yang penting. Dan ada juga syair yang berdasarkan kepada cinta dan asyik ma'syuk, yang indah didengar tetapi tidak membawa mesej yang signifikant. Hanya dapat membakar semangat nafsu kerinduan kepada seseorang.

Pak Malau mengenangkan kehilangan budaya yang bernilai ini sebagai satu kerugian. Maka alangkah baiknya kalaulah anak-anak sekarang menghidupkan kembali budaya ini untuk menyampaikan mesej-mesej yang murni. Dan untuk menyesuaikan dengan keadaan gubahkan dalam rentak yang lebih komtemporari.

Ya, mengenangkan kembali kepada Seri Mersing dulu, teringatlah akan Pak Malau kepada dialog-dialog yang berbentuk gurindam dan seloka yang begitu halus tetapi tajam menusuk kalbu. Ahh, sebak pula rasanya dada, mengenangkan nasib Damak yang telah merajuk membawa diri, entah ke mana.

Anak-anak, berikut adalah syair yang menarik untuk tatapan dan kenangan bersama. Iaitu sebahagian daripada bait-bait Syair Alif Ba Ta karangan Hamzah Fansuri, penyair Aceh Darussalam yang masyhur dulu. Bacalah dan telitilah isinya. Alif Ba Ta, permulaan kata. Muqadimmah segala-gala. Awal kepada yang mula.


Awal syair Alif Ba Ta,
Dikarangkan oleh fakir yang lata,
Menghiburkan hati sangat bercinta,
Miskin tidak menaruh harta.

Ada pun terkarang syair,
Hamba duduk seorang berfikir,
Jangan sia-sia duduk membazir,
Bolehlah dibaca orang yang mahir.

Adalah karangan bukan cerita,
Boleh dibuat cermin mata,
Jikalau datang hati bercinta,
Bacalah tuan supaya nyata.

Apa yang tersebut Alif dimulakan,
Di bawah ini hamba huraikan,
Entahlah ya entahlah bukan,
Jikalau salah tuan maafkan.

Alif itu huruf yang tunggal,
Selamanya ia berdiri kekal,
Huruf yang lain tiada boleh membatal,
Alif juga yang memberi afdhal.

Alif berupa angka satu,
Sekalian huruf ia membantu,
Jikalau tiada Alif sekutu,
Sekalian diperbuat tiada tentu.

Alif itu huruf pertama,
Huruf yang lain tiada sama,
Allah Taala disebut nama,
Alif jua awal menjelma.

Awal Alif menyebut Tuhan,
Huruf yang lain bersalah-salahan,
Allah kurniakan mudah-mudahan,
Fikir dan Akal jangan berjauhan.

Habis ini tersebut itu,
Dari huruf Alif karangan tentu,
Jikalau datang berhati mutu,
Bacalah tuan satu persatu.


Ya Yeop, segalanya bermula seperti alif yang awal. Sebagai timsal, maka telitilah satu persatu akan cara-cara kita mengerjakan ibadah kita. Apa yang dipelajari sewaktu kanak-kanak dulu, mungkin lain pemahamannya. Lain tafsirannya. Ambilah peluang untuk meninjau kembali.

Sebagaimana Pak Malau sendiri. Baru sedar dan baru mencari. Baru tahu bahawa alangnya banyak yang tak diketahui.

Insha Allah sekiranya Rampai atau Zizie atau Loppies singgah di teratak Pak Malau ini, mereka akan membantu menafsirkan syair di atas.

p.s. Nurul, kamu masih demam lagi ke? Kalau ia, ambillah ubat dari Dr. Roza.


Penghargaan: Khat Alif, dari koleksi Ali Omar Ermes.

8 comments:

Sya said...

Pak Malau.. terimakasih menulis semula syair yg indah sebegini. Sayang sekali kalau tenggelam tanpa ada peluang membacanya.

Sya suka mendengar Klasik.FM, sebabnya dj selalu membacakan gurindam, pantun dan peribahasa lama yg jarang didengar oleh kita sekarang.

Kalau Pak Malau jumpa lagi gurindam/syair lama mungkin boleh post lagik. dalam salah satu posting sya ada pantun lama dari arwah Mak Ngah.. ada yg sya faham dan ada yg tidak.. sayang arwah dah meninggal dunia.. arwah menghafal banyak pantun lama yg penuh makna tersirat

simah said...

saya setuju...khazanah melayu sepatutnya dijaga...tak ramai yang pandai terutamanya generasi muda...contohnya saya.....jangankan syair...nak berpantun pun....heheh memang tak reti...

zizie ali said...

dulu. saya minat isma alif. pelawak yg boleh menyanyi dan tiru gaya suara orang lain.
dalam sukan bola sepak, kita mungkin masih ingat tiga beradik: abdah alif, yunus alif, najib alif.
alif ali adalah anak syarifah aini. kini masih menuntut di universiti madinah.

Yeop-Harley said...

Pak Malau
Memang hebat syair Aliff Baa Taa oleh Hamzah Fansuri ni...selepas ni bolehlah Pak Malau huraikan keistimewaan huruf Ha pula.

Pak Malau said...

Sya:Ya kita akan hilang satu warisan sekiranya sastera-sastera sebegini dibiarkan terpendam. Pantun tu pada blog yang bertarikh bila?

kerabat:cik gu untuk mengajar sastera klasik pun dah tak ada.

simahsiir turki banyak. malahan syair berasal dari budaya parsi dan turki.

zizie;jangan kamu masukkan sekali kasut berjenama Aliph. Tu dari genre yang berlainan.

Yeop:ada Yeop. tunggu di blog lain.

Nurul:Itu Syair yang penuh nasihat dan jiwe jiwe dan juga membakar semangat untuk wanita besama-sama ke depan.

SEKIAN ADANYA.

Sya said...

Pak Malau, ini yg sya copy dan paste dr blog sya. Tajuk "NGAH YANG AKU KENALI... AL FATIHAH" di posting bulan Februari

Ikan belanak kepala batu
Masak kuah asam cuka
Kahwinkan anak dapat menantu
Orang ramai tumpang suka

Sepuluh ikan cencaru
Ikan gelama masak kuah
Sepuluh berganti baru
Yang lama juga bertuah

Pucuk pauh delima batu
Pucuk pisang digulung ulat
Tuan jauh negeri satu
Belum terbang ku kirim surat

Kapal datang dari Sandakan
Singgah berlabuh Padang Cik Tahir
Kalau berbudi tempat yg bukan
Bagai garam lepas ke air

Orang mengail lubuk batu
Dapat ikan sepuluh Satu
Mana nak cari kasih setuju
Bagai mertua dengan menantu

Kemekah sudah
Madinah sudah
mencari tuhan punyalah susah
rupanya ada di dalam rumah

Bunga Rampai said...

Salam,
Segalanya bermula dengan satu. Satu huruf, satu angka, satu langkah. Sejujurnya kerana Dia. Berkat usaha dan doa ... sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Namun melentur buluh biarlah daripada rebungnya :)

Anonymous said...

I inclination not agree on it. I over polite post. Expressly the title attracted me to be familiar with the sound story.