Thursday, June 14, 2007

Nasihat buat ibu bapa

Tingkatkan Komunikasi Dengan Anak-anak

Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Hasil kajian mendapati ibu bapa hanya berkomunikasi 5 - 10 minit sahaja dengan anak-anak. Fakta ini pasti mengejutkan banyak pihak. Cuba fikirkan, bila masanya kali terakhir anda berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak. Komunikasi berkesan merujuk kepada perhubungan dua hala antara ibu bapa dan anak-anak. Perhubungan ini pula perlu wujud dalam keadaan mesra dan tanpa sebarang tabir mental (mental block).

Anda sebenarnya diktator. Kerap kali faktor ini berlaku ketika membimbing anak-anak. Percakapan yang wujud antara ibu bapa dan anak-anak lebih berbentuk larangan, perbandingan, sindiran dan arahan. Kalaulah ini cara anda mendidik anak-anak maka wajarlah sekiranya anda dianggap sebagai seorang yang memimpin keluarga secara autokratik. Cuba ingatkan semula perkataan-perkataan anda tehadap anak-anak setiap hari.

    • Ali balik sekolah nanti buat kerja rumah (arahan).
    • Jangan lupa tolong angkat kain lepas ini (arahan).
    • Mak tak nak tengok kamu bergayut kat telefon lama-lama macam semalam (larangan).
    • Itulah kau bila belajar jer malas, tengok si mamat tu tak payah disuruh (membandingkan).
    • Hmm... daripada bagi kat Ali tu baik kasi kat kucing. Bukan dia hargai pun. (Sindiran).

Inikah komunikasi yang ada antara anda dengan anak-anak? Kalau inilah yang anda faham sebagai komunikasi, maka anda jelas sedang menyediakan anak-anak yang bakal punya masalah dihari muka mereka.

Fahami mereka dan baru mereka memahami anda. Inilah sebenarnya yang anda patut lakukan. Letakkan diri anda ditempat mereka. Selami perasaan mereka. Nasihat anak-anak anda seperti mana kawan-kawan mereka menasihati mereka. Elakkan dari terbentuknya tabir minda antara anda dan anak anda. Jangan sesekali anda mengkritik mereka secara melulu. Setelah terbentuknya jambatan perasaan barulah anda tunjukkan apa kesilapan mereka dan buka minda mereka akan akibat-akibat buruk yang mungkin menimpa sekiranya mereka tidak melakukan perubahan.

Jangan sesekali mengharapkan perubahan yang mendadak atau serta-merta, sebab perubahan sebegini biasanya tidak bertahan lama. Ceritakan kisah-kisah silam anda kepada mereka agar mereka tahu bagaimana anda menghadapi sesuatu situasi yang memerlukan ketabahan dan kecekalan.

Berikan mereka dorongan. Jangan sesekali anda tunjukkan yang anda meragui kebolehan anak-anak anda dalam melakukan sesuatu perkara. Berikan mereka dorongan. Tolong mereka apabila perlu dan biarkan anak-anak belajar melalui kesilapan. Jangan harapkan bahawa anak-anak anda akan melakukan sesuatu perkara kali pertama dengan sempurna.

Begitu juga dalam soal pelajaran, elakkan dari meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak-anak. Harapan yang menggunung ini ada ketikanya menyukarkan dan membebankan mereka. Elak dari berkata, "mak nak lihat kamu dapat 8A dalam peperiksaan PMR tahun ini". Tetapi ucapkanlah begini, "mak nak tengok kamu lakukan yang terbaik dalam PMR tahun ini, walau apa sekalipun keputusannya mak redha. Yang penting kamu mesti lakukan yang terbaik dan telah berusaha bersungguh-sungguh". Selalulah ucapkan kata-kata ini hingga lazim dalam pemikiran anak-anak.


Sunday, May 27, 2007

Guru oh Guru




Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

~SN Dato' Dr. Usman Awang~


Monday, May 14, 2007

Untuk Ibu




Pak Malau amat tertarik dengan pesanan yang terdapat dalam blog Ku Keng tentang Ibu.

Terpahat dibenakku dua hadith yang menjadi peringatan dalam khutbah Jumaat di Masjid INTAN kelmarin.

Seorang sahabat menggendung ibunya dari Medinah ke Makkah untuk mengerjakan haji. Apabila ditanya kepada Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam tentang apakah ini membalas jasa-jasa ibunya kepadanya, Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam menjawab;

"Tidak! Tak memadai untuk membalas meskipun setitik susu dari ibumu."


seterusnya bacalah: Pesanan Keng tentang Ibu



Saturday, May 12, 2007

IBU Oh IBU





Have you ever said "Uff" to your mom?
Adakah anda pernah mengatakan UFF atau UHH kepada ibumu?

"Thy Lord hath decreed that ye worship none but Him, and that ye be kind to parents. Whether one or both of them attain old age in thy life, say not to them a word of contempt (Uff), nor repel them, but address them in terms of honor. And out of kindness, lower to them the wing of humility, and say: ‘My Lord! bestow on them Thy Mercy even as they cherished me in childhood' "(Quran 17:23-24).


[23]
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Uff" (uhh), dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).

[24]
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."


Nota: Terjemahan ayat di atas dari sini

Sunday, April 15, 2007

Skodeng






Jangan sekali-sekali menyangkakan bahawa kita terlindung dari si skodeng didalam kesunyian bilik sendiri!

Ingatlah. Penjagaan aurat dari umum senang dibuat. Tapi jangan lupa, kita perlu juga menjaga aurat sendiri dari pandangan makhluk-makhluk ghaib seperti iblis, syaitan dan lain-lain tenteranya yang sentiasa menyegodeng kita.

Dari pesanan Habib Ahmad bin Habib Hassan al-'Atthas, seorang ulamak yang masyhur, beliau berpesan supaya sentiasa membaca

BISMILLAHILLADZII LAA ILAAHA ILLA HU
= Dengan nama Allah yang tiada ada tuhan kecuali DIA

untuk menutup pandangan dari si penyegodeng apabila kita menanggalkan pakaian.

Saturday, March 31, 2007

Miladur Rasul






Khutbah yang terakhir dari Rasululullahi sollahu 'alaihi wassalm, sebagai wasiat buat kita semua.

Di samping menyambut Milad Baginda, marilah kita sama-sama menunjukkan kasih sayang kita kepadanya.

Allumma solli 'ala Sayiddina Muhammadein wa 'ala aalihi wasahbih.



Sunday, March 04, 2007

Sahabat



Kata-kata yang indah ini Pak Malau terima melalui mesej singkat telefon (sms) kelmarin. Sungguh indah:

Sahabat,

Jika hari ini aku terlalu gembira
Sedarkanlah aku dengan amaran-amaran Allah
Jika aku bersedih tanpa kata
Pujuklah aku dengan tarbiyah dari ayat-ayat Pencipta
Jika aku lemah dan tak berdaya
Ingatkanlah aku dengan kenikmatan syurga
Jika antara kita ada tembok yang memisahkan
Ajaklah aku meruntuhkannya segera
Jika pernah hatimu terluka
Luahkanlah agar aku berubah
Dan esok jika ku lena tanpa terjaga
Iringlah lenaku dengan kalungan do'a.

Berjanjilah sahabat
Ukhuwah kita untuk selama-lamanya.

Sekiranya Chairil Anwar masih ada dan dimilikkinya pula telefon bimbit, akan kaya lagilah dunia sastera dengan puisi-puisinya.


Sunday, February 11, 2007

Aduhai Hari. Adakah kau akan berlalu lagi?



Hari kelmarinmu telah berlalu
ia menjadi saksi yang jujur
menyusul kemudian hari baru
mengisi kehidupanmu yang telah mundur.

Jika kau menggunakan harimu itu
manfaat yang kau perolehi kan kembali padamu
sedang hari yang telah berlalu
tidak akan lagi menghampirimu.

Jika kelmarin kau berbuat kekejian
maka padukanlah dengan sebuah kemuliaan
janganlah kau berharap esok saja akan berbuat kebaikan
jangan-jangan esok tika ianya menjelang ....
engkau pula telah menghilang.

~~ karangan Mahmud bin Al Hussain. Dipetik dari kumpulan-kumpulan Ibnu Abid-Dunya ~~


Pak Malau teringatkan kepada syair ini tatkala membaca madah Harapan pada blog Ku Keng.

Gambar ehsan: worldforge

Tuesday, January 09, 2007

Hijrah





Ya anakku, Rampai.

Tak betul sama sekali bahawa pengertian HIJRAH adalah melarikan diri. Sebagaimana tanggapan orientalists dan kebanyakan orang yang buta sejarah terhadap hijrah Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam dari kota Makkah ke Medinah. Yang mana hari peringatan peristiwa itu akan kita rayakan nanti dalam bulan ini. Berslogankan Ma'al Hijrah iaitu "Bersama berhijrah".

Hijrah Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam dipercayai mengandungi tiga matlamat yang besar. Bermakna penghijrahan atau perpindahan itu bukanlah semata-mata bertukar tempat, dan dipercayai Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam melakukannya untuk melaksanakan strategi yang besar untuk pengembangan Islam dan masyarakat.

Tiga matlamat itu adalah:


  • Untuk membentuk satu masyarkat yang berbudaya berasaskan kepada Islam untuk melaksanakan social justice. Sebagai contoh, berbanding dengan masyarakat jahiliah Makkah;
  • Untuk pembangunan ekonomi masyarakat Islam kerana di Makkah, kaum Islam tertindas dan tak dapat membangunkan ekonomi mereka. Satu revolusi ekonomi telah berlaku di Madinah ketika itu, sehingga menjadikan Medinah sebagai sebuah pusat dagang yang penting. GDP Medinah meningkat berlipat ganda. Malahan kaum muhajirin telah mejadi pesaing yang hebat kepada Yahudi Medinah ketika itu;
  • Pembangunan sistem politik Islam. Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam telah membina satu sistem pentadbiran yang mantap berdasarkan kepada al Quran.

Begitulah ruh Hijrah. Kini, manusia menggunakan istilah hijrah sebagai jalan keluar daripada kesusahan. Sebenarnya, penghijrahan perlukan kepada Business Plan diri serta matlamat dan strategi untuk dilaksanakan.



Sekiranya kita meneliti keadaan kita di Malaysia, kita akan tertanya-tanya:

  1. Dimanakah budaya kita?
  2. Dimanakah matlamat ekonomi kita? Dan
  3. Dimanakah sistem pentadbiran kita?

Selamat bersama-sama bersiap untuk berhijrah. Bukan ke tempat lain, tetapi ke fikrah dan budaya yang lebih mantap, canggih dan sempurna.



Thursday, December 14, 2006

5 Nasihat




Ingatkan kepada lima nikmah yang dianugerahi Allah SWT sebelum berlakunya 5 hal yang lain: Hayatmu sebelum matimu; sihatmu sebelum sakitmu; kelapangan waktumu sebelum kesibukkanmu; mudamu sebelum tuamu; kekayaanmu sebelum kefakiranmu.

~ hadith Rasululullahi Sollahu 'alaihi wassalam ~

Sunday, November 26, 2006

Lilin Yang Menerangi






Do not become the candle that gives light to others but itself remains in darkness.
Do not follow the desires of your lower self.
Should the Lord wish, He himself will pick you out and prompt you to be a source of guidance.
He Himself shall endow you with the inner strength to endure the changes of fortune and will instill within you infinite wisdom.

Jangan jadi seumpana lilin yang menerangi tetapi meletakkan diri dalam kegelapan.
Jangan ditakluki oleh nafsu.
Sekiranya ditakdirkan Allah SWT, kamu akan dipilih dan Dia akan memberimu hidayah.
Dialah yang akan memberimu kekuatan batin untuk menerima ilmu-ilmu laduni yang akan meningkatkan dirimu.


-Sheikh Abdul Qadir Jillani, "Fayuz E Yazdani"-
From "The Bounty of Allah," translated by Aneela Khalid Arshed.

Wednesday, November 08, 2006

Tambah 6

Permulaan Syawal ini Pak Malau diziarahi kawan lama, Haji Deraman, dulunya menjadi jeragan bersama Pak Malau. Pesannya kepada Pak Malau, teringin sekali untuk Pak Malau kongsi bersama anak-anak:


Sama-samalah kita pastikan hasil tuaian tanaman bulan Ramadan dijagai dengan baik, dan pokok-pokok yang telah ditanam senantiasa dibajai dengan sempurna.

Isikanlah kehidupan harian dengan amalan Rasul dan jangan biarkan diri ketandusan hasil. Amalan Ramadan yang diperpanjangkan menjana ketaqwaan.



Begitulah anak-anak, jangan jadi orang yang pergi haji dan umrah. Sewaktu di sana begitu gah beribadat berjemaah dan menjaga hijab antara lelaki dan perempuan. Sepulangnya ke tanah-air, lupa segala-galanya. Marilah kita perpanjangkan disiplin Ramadan dalam bulan-bulan seterusnya.

Selamat beribadat Syawal.

Tambah 6.

Tuesday, October 10, 2006

Laila oh Laila

Sabda Rasululullah sollahi alaihi wassalam, bahawa malam al Qadr berlakunya pada satu malam dari hari yang ganjil, daripada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Ia itu pada 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadhan. Bagaimana untuk mencari malam ini?

Mengikut petua Hujjatul Islam Imam Al Ghazali bahawa sekiranya awal Ramadhan jatuh pada hari:

    1. Ahad atau Rabu: - malam Qadar dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan;
    2. Isnin: - malam Qadar dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan;
    3. Selasa atau Jumaat:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan;
    4. Khamis:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan;
    5. Sabtu:- malam Qadar dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan
Berdasarkan kepada petua di atas, insya Allah Lailatul Qadar pada tahun ini, sekiranya dikira permulaan Ramadhan pada hari Sabtu (mengikut kiraan hisab), akan jatuh pada malam ke 23 Ramadhan. (Kita di Malaysia bermula puasa pada Hari Ahad akantetapi Negara-negara Teluk dan Saudi Arabia mula berpuasa pada Hari Sabtu).

Tetapi ini tidaklah bermakna bahawa kita mesti menghidupkan hanya malam tersebut. Teruskan untuk mencari malam Qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga.

Antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah :

    1. Malam itu tenang, tidak dingin dan tidak panas;
    2. Siang keesokan harinya pula warna cahaya matahari akan kelihatan pucat;
    3. Pada malam itu malaikat Jibril akan menyalami orang yang beribadat pada malam itu dan tandanya ialah kita tiba-tiba rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak secara tiba-tiba.
Pak Malau ingin berpesan supaya kita beramai-ramai menghidupkan suasana sepuluh malam terakhir Ramadhan dan mudah-mudahan kita akan dikurniakan dengan kelebihan Lailatul Qadar. Fadhilat malam ini adalah pahala yang diganjarkan seperti ibadat yang diterima Allah SWT selama 1000 bulan atau 83 tahun. Itulah keistimewaan yang dianugerahkan Allah SWT kepada ummat Muhammad, disebabkan jangka umur ummat Muhammad pendek berbanding dengan ummat nabi-nabi lain.

Oh Lailatul Qadar aku merinduimu, dan sangat mengharapkan kehadiran mu.

Selamat mencari Laila.

Tuesday, September 19, 2006

Peringatan Pada Diri Saya

Sungguh baik peringatan yang Pak Malau terima melalui e-mel, dan Pak Malau rasa wajar disebarkan untuk renungan bersama. Dan mengambil iktibar darinya.

Dan juga Pak Malau ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak dan Selamat Berpuasa dan Beribadat.

"Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yang akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yang tidak memberikan hak kepada wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya didunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau degan hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik keneraka oleh anaknya.

p/s: Duhai lelaki yang bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang? Adakah kau mengajarnya bersolat & saum?..menutup aurat? .. pengetahuan agama? .. Jika tidak cukup salah satunya, maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka jahannam.

2. Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yang alim dimana solatnya tidak pernah bertangguh, saumnya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dalam neraka.

p/s: Duhai lelaki yang bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang? Dimanakah dia? Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari'at, maka terimalah hakikat yang kau akan sehidup semati bersamanya di 'taman' neraka sana.

3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada,tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

p/s: Duhai lelaki yang mempunyai adik perempuan, jangan hanya menjaga amalmu, dan jangan ingat kau terlepas ... kau juga akan dipertanggungjawabkan diakhirat kelak ... jika membiarkan adikmu bergelumang dengan maksiat... dan tidak menutup aurat.

4. Anak-anak lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram disisi Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya...maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak....dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

p/s: Duhai anak-anak lelaki.... sayangilah ibumu....nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa .... kerana ibu juga insan biasa... tidak lepas dari melakukan dosa ... selamatkanlah dia dari menjadi 'kayu api' neraka....jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.

Lihatlah.....betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat. Maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka.

Firman Allah S.W.T;

"Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu..."



Terima kasih Pak Malau kepada pengirim Mel yang sungguh berguna itu.

RAMADHAN KARIM.

Friday, July 21, 2006

sms


Maka bertaburanlah mesej-mesej pendek - sms - yang dihantar ke seluruh pelusuk negara tentang City dan 2nd hand Tiara; tentang jenama baru bernama Era, dan tentang bakal-bakal anak tiri. Bergelak ketawalah penerima dan sepantas kilat menghantar pula kepada yang lain yang sudah tentu telah menerima sms yang serupa.

Seronok. Menjadikan isu yang kini hangat sebagai bahan ketawa.

Pak Malau tak meminati sesiapa. Hanya mau mengingatkan bahawa dalam kitab Ihya 'Uluumid-din karangan hujjatul Islam Imam al Ghazali, beliau berpesan bahawa bercakap-cakap di belakang seseorang mengenainya, meskipun baik sekalipun dan sekiranya tuan punya badan tak ingin dihebahkan, adalah MENGUMPAT. Apatah lagi yang tak baik. Dan dalam al Quran, Allah SWT bertanya, "Adakah kamu ingin memakan daging saudaramu sendiri pada hari kiamat?" Sau amaran keras yang ditujukan kepada pengumpat-pengumpat. Dosa mengumpat pula hanya boleh dihapuskan oleh tuan punya badan yang diumpat.

sms yang bertaburan membawa dua keburukan:
  1. Menceritakan hal yang tak benar;
  2. Menjadikan bahan ketawa.
Jadi bagaimana? Semoga tuan-tuan punya badan yang telah diumpat dalam sms-sms yang bertaburan masakini, mengampuni kesemua yang terlibat.

Pak Malau sekadar mengingatkan sahaja.

Semoga Allah SWT mengampuni kita semua dengan keberkatan yaumul Jumaat al barkah ini.

Saturday, July 08, 2006

Kemampuan yang hebat

Ingin Pak Malau memaklumkan secebis riwayat dari Anas r.a., yang menyampaikan bahawa Rasulullahi sollahu 'alaihi wassalam bersabda:

KETIKA Allah telah menciptakan bumi dan bumi selalu bergerak, maka Allah pun menciptakan gunung-ganang dan meletakkannya diatas bumi, sehingga terhentilah gerakan dan goncangan bumi. Maka kagumlah para Malaikat.

Seraya mereka berkata, "Ya Allah, apakah ada dari ciptaan Mu yang lebih hebat dari gunung-ganang ini?"

Allah menjawab, "Ya ada, ia itu besi."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari besi?"

Allah menjawab, "Ya ada, ia itu api."

Para Malaikat bertanya lagi, "Ya Allah, apakah ada yang lebih hebat dari api?"

Allah menjawab, "Ya, ada, ia itu air."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari air?"

Allah menjawab, "Ya ada ia itu angin."

Para Malaikat bertanya lagi, "apakah ada Ya Allah yang lebih hebat dari angin?"

Allah menjawab, "Ya ada ia itu keturunan Adam, yang memberikan sesuatu derma dengan tangan tangannya dan merahsiakan dari tangan kirinya, maka dia lebih hebat dari angin."
Dan ingin Pak Malau samapaikan pesanan guru-guru Pak Malau dulu. Jangan tunggu hendak berderma hanya apabila ada mempunyai wang. Derma bolih dalam apa bentuk sekalipun, sama ada fikiran, nasihat, tenaga atau hartabenda.



Begitulah yang Pak Malau mampu dermakan kepada anak-anak kali ini.

Saturday, May 20, 2006

Melayu

Secara kebetulan sewaktu menghantar seorang teman lama ke tempat istirehat abadi di tanah perkuburan Bukit Kiara, di Damansara, Pak Malau terpandang pusara orang sekampung. Datuk Usman Awang. Pusaranya di sebelah kanan tempat letak kereta depan, di muka perkuburan.

Sepi dan sayu. Air takungan dalam balang bunga sudah berisi jentik-jentik. Pusaranya dipermukaan kawasan dan di depan pintu besar, seolah membolihkan beliau melihat-lihat siapa yang datang dan siapa yang dipulangkan. Terkenang Pak Malau kepada sajaknya 'Di Makam Bonda'.

Tetapi sajak almarhum yang ingin Pak Malau paparkan buat tatapan bersama adalah, MELAYU.



MELAYU...

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun


Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

- Usman Awang


Al Fatihah buat Almarhum. Semoga Allah SWT merhamatinya.

Thursday, May 11, 2006

Hati yang tak Minat



Asyik Ma'syuk, ungkapan Arab yang diMelayukan. Menandakan perbuatan yang penuh dengan konsentrasi dan perhatian yang timbul dari kesukaan atau kecintaan, hingga membuatkan seseorang lupakan keadaan di sekelilingnya. Kesukaan bermain dam misalnya, melekakan pemain sehingga terlupa untuk makan, minum dan mandi manda. Kecintaan kepada sesuatu seni sehingga tidak menjaga keadaan diri. Rambut berjerebeng dan pakaian tak tersalin. Tak menjadi apa-apa pada dirinya.

Kenapa semuanya timbul sebegini? Kerana kesukaan kepada sesuatu yang amat, sehingga seseorang itu dapat memberikan perhatian dan kosentrasi yang penuh. Tak hirau kepada gangguan atau keadaan sekeliling. Timbul dari minat yang medalam dalam hati sanubari.

Tapi, sikap ini tak kita terbawa dalam ibadat. Sebelum solat, kita dah istiharkan. "Hanya lima minit! Tunggu ya!" Tanda kesediaan untuk mengopohkan perbuatan. Kenapa kita hadkan kepada waktu, walhal dalam aktiviti lain, kita lupakan waktu? Semata-mata kerana minat yang bukan timbul dari kecintaan, tetapi dari kelakuan yang timbul dari kebiasaan atau paksaan.

Begitulah pesan Pak Malau kepada diri Pak Malau. Kalau dapat berjemur panas dan bermandi hujan ketika mengail; untuk hanya dapat menangkap seekor ikan dalam satu jam atau berjam-jam, tak pernah mengeluh atau terburu-buru. Tapi solat selalu dalam keadaan tergopoh-gapah kerana ada saja pekerjaan yang terlintas sewaktu mengangkat takbir, yang perlu disiapkan atau dihabiskan dengan penuh ketelitian. Dengan segera.

Begitulah. Kalau tak cinta untuk melaksanakan seruan Allah SWT bagaimana untuk mendapatkan kecintaan dari Allah SWT.

Ya Allah, aku mohonkan kekuatan hati dalam melakukan ibadat kepada Mu; dan kekhusyukan hati dalam perlakuan ibadatku.

Wednesday, April 26, 2006

Thoma'ninah


Pak Malau teringatkan satu pesanan yang amat berguna untuk menjaga kesihatan tubuh badan. Yang berpesan kepada Pak Malau lama dulu, merupakan seorang tabib ilmu perubatan siddhi atau unani. Satu cabang perubatan yang tua dan berdasarkan kepada kaedah-kaedah perubatan Ibn Sinna. Tabib ini penjual kain di kampung. Berbangsa Pakistan. Tua tapi segak. Tak pernah Pak Malau dapat khabar yang dia ada mempunyaui penyakit seperti darah tinggi atau kencing manis atau sakit jantung. Batuk pun tak pernah Pak Malau perasan. Tabib ni yang Pak Malau dapat khabar meninggal di kampungnya di Pakistan pada usia hampir 100 tahun. Itulah kesihatan yang Allah anugerahinya.

Pada suatu hari selepas asar, kami berbual-bual sambil berjalan-jalan di pantai untuk mengeluarkan peluh. Sewaktu berjalan dia berpesan, "Malau, kamu mesti jaga itu badan. Nanti sudah tua punya jam pun, kurang sakit."

"Macam mana Sab?" Pak Malau bertanya.

"Ingat. Minum makanan dan makan minuman." Jawab Tabib Sab.

Pak Malau berkata dalam hati, "Mungkin penguasaan bahasanya tak begitu baik jadi Sab ni keliru dengan penggunaan perkataan." Tapi apabila dia nampak Pak Malau senyap kerana berfikir, dia menambah lagi,

"Itu minum makanan, maknanya, kasi kunyah itu makanan lama-lama sampai jadi betul-betul hacur dan senang telan macam boleh minum."

"Oh begitu.. Dan makan minuman tu macam mana pulak?" Tambah Pak Malau kerana selain dari ketulan air batu, yang Pak Malau tau, mana ada air yang boleh dimakan?

"Ha itu makna, itu air, jangan terus telan. Kasi lama-lama dalam mulut, dan dikit-dikit. Sedut sikit-sikit macam itu air benda keras. Jadi itu air bila campur dengan kamu punya air lior, itu dia punya zat jadi lebih serasi." Sab lanjutkan keterangan.

Ini lama untuk Pak Malau hendak faham. Kerana kurang logik bunyinya. Jadi baru-baru ini sewaktu ada sedara Pak Malau yang jadi doktor di KL datang, Pak Malau pun tanyalah soalan yang telah terbenak dalam ingatan sebegitu lama.

"Oh Tok, sekarang ni, kajian dah menemui tentang kaedah untuk memastikan enzyme dalam air lior supaya lebih berkesan pada kita dengan cara, membiarkan peresapan yang perlahan-lahan. Air lior ni Tok,"beliau meneruskan, "banyak khasiatnya kerana Allah jadikannya sebagai aliran pembawa enzyme yang amat berkesan. Untuk pencernaan yang berkesan dan memastikan supaya zat makanan diterima badan dengan lebih baik. Jadi dalam air lior tu tak tentu ianya berkuman, melainkan kalau kita sedang sakit dan sebagainya."

Ah. Terang benderang seperti lampu torchlight. Barulah Pak Malau faham.

Jadi moral ajaran Sab adalah jangan gopoh gapah dalam kelakuan. Termasuklah jangan gopoh gapah dalam solat misalnya. Buat baik-baik dan teratur. Hidup mestilah berthoma'ninah.

Friday, April 14, 2006

Riadah Pernafasan

Di kalangan nelayan tradisional, juruselam selalunya pekak di darat tapi kuat pendengaran di dasar lautan. Bukan hanya dapat mendengar bunyi renang ikan, tapi dapat mengagakkan sekali jenis ikan dan sebesarnya mana kumpulan yang ada di dasar laut. Itulah keanihan pada mereka. Untuk membolehkan mereka lama menyelam, mereka selalunya pandai ilmu pernafasan.

Ini mengingatkan Pak Malau kepada teknik pernafasan lama yang terkenal di kalangan orang-orang Melayu, India dan Cina. Ia itu teknik pernafasan perut.

Kebiasaannya kita bernafas di dada. Itu tak menguatkan nafas batin kita kerana nafas itu tak mendalam. Cuba amalkan tarik nafas melalui hidung dan sedut hingga rasa ianya sampai ke perut. Perut dalam bahasa Arab adalah bathana, dan dari sinilah perkataan batin, diungkapkan dalam bahasa Melayu. Sewaktu menarik nafas, kira sepuluh. Kemudian tahan nafas di perut selama kiraan lima dulu. Selepasnya keluarkan nafas melalui mulut. Habiskan nafas dalam kiraan sepuluh. Ulang sepuluh kali dan panjangkan kiraan. Cuba pula dengan lidah menekan ke pangkal gigi barisan depan atau ke langit-langit. Bagaimana? Dengan cara ini lagi banyak nafas yang akan disedut ke dalam perut.

Teknik ini sekarang mula populer di USA sebagai cara untuk mengawal tekanan darah. Ramai pengidap hypertensi yang dapat menurunkan tekanan darah tinggi mereka dengan latihan ini. Selalunya dalam keadaan marah, kita akan dinasihatkan "Take a deep breath." Sebenarnya inilah kaedahnya untuk mengawal stress dan tension pada diri. Amalkan di tempat yang terbuka. Terbaik.

Pak Malau bukannya dukun atau bomoh. Tapi yang Pak Malau nak sampaikan adalah sewaktu bernafas ke dalam, zikirkan ALLAH dalam hati. Bayangkan bunyi nafas yang ditarik itu dengungannya bunyi ALLAAAAAAAAAAAAAAAAH. Sewaktu melepas nafas pula dengungkan HUUUUUUUUUUUU.

Itulah zikir pernafasan yang akan senantiasa bermain-main di kepala kita. Bukannya lagu-lagu Mawi atau Siti. Insha Allah.