Saturday, May 20, 2006

Melayu

Secara kebetulan sewaktu menghantar seorang teman lama ke tempat istirehat abadi di tanah perkuburan Bukit Kiara, di Damansara, Pak Malau terpandang pusara orang sekampung. Datuk Usman Awang. Pusaranya di sebelah kanan tempat letak kereta depan, di muka perkuburan.

Sepi dan sayu. Air takungan dalam balang bunga sudah berisi jentik-jentik. Pusaranya dipermukaan kawasan dan di depan pintu besar, seolah membolihkan beliau melihat-lihat siapa yang datang dan siapa yang dipulangkan. Terkenang Pak Malau kepada sajaknya 'Di Makam Bonda'.

Tetapi sajak almarhum yang ingin Pak Malau paparkan buat tatapan bersama adalah, MELAYU.



MELAYU...

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun


Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

- Usman Awang


Al Fatihah buat Almarhum. Semoga Allah SWT merhamatinya.

Thursday, May 11, 2006

Hati yang tak Minat



Asyik Ma'syuk, ungkapan Arab yang diMelayukan. Menandakan perbuatan yang penuh dengan konsentrasi dan perhatian yang timbul dari kesukaan atau kecintaan, hingga membuatkan seseorang lupakan keadaan di sekelilingnya. Kesukaan bermain dam misalnya, melekakan pemain sehingga terlupa untuk makan, minum dan mandi manda. Kecintaan kepada sesuatu seni sehingga tidak menjaga keadaan diri. Rambut berjerebeng dan pakaian tak tersalin. Tak menjadi apa-apa pada dirinya.

Kenapa semuanya timbul sebegini? Kerana kesukaan kepada sesuatu yang amat, sehingga seseorang itu dapat memberikan perhatian dan kosentrasi yang penuh. Tak hirau kepada gangguan atau keadaan sekeliling. Timbul dari minat yang medalam dalam hati sanubari.

Tapi, sikap ini tak kita terbawa dalam ibadat. Sebelum solat, kita dah istiharkan. "Hanya lima minit! Tunggu ya!" Tanda kesediaan untuk mengopohkan perbuatan. Kenapa kita hadkan kepada waktu, walhal dalam aktiviti lain, kita lupakan waktu? Semata-mata kerana minat yang bukan timbul dari kecintaan, tetapi dari kelakuan yang timbul dari kebiasaan atau paksaan.

Begitulah pesan Pak Malau kepada diri Pak Malau. Kalau dapat berjemur panas dan bermandi hujan ketika mengail; untuk hanya dapat menangkap seekor ikan dalam satu jam atau berjam-jam, tak pernah mengeluh atau terburu-buru. Tapi solat selalu dalam keadaan tergopoh-gapah kerana ada saja pekerjaan yang terlintas sewaktu mengangkat takbir, yang perlu disiapkan atau dihabiskan dengan penuh ketelitian. Dengan segera.

Begitulah. Kalau tak cinta untuk melaksanakan seruan Allah SWT bagaimana untuk mendapatkan kecintaan dari Allah SWT.

Ya Allah, aku mohonkan kekuatan hati dalam melakukan ibadat kepada Mu; dan kekhusyukan hati dalam perlakuan ibadatku.