Tuesday, February 28, 2006

permintaan

Malam tadi Pak Malau ke Kuala Sedili mendengar syarahan ustaz dari Terengganu. Dia ni bercakap pekat Terengganu. Nasib baiklah di Mersing pun orang bercakap juga dengan loghat Terengganu maka senanglah Pak Malau faham pesanan ustaz itu. Namanya Ustaz Awang.

Pesan Ustaz Awang:

Jamang dulu, kata Ustaz Awang, ada dua malaikat yang dihantar oleh Allah subhaana wa ta'ala, ke dunia. Nama mereka Harut dan Marut. Kesilapan mereka adalah kerana mengajar ilmu sihir kepada manusia maka Allah Subhaana wa ta'ala pun memberi kepada mereka pilihan untuk menjalankan hukuman. Dan mereka memilih untuk diseksa di dunia.

Pada suatu malam ada seorang tua yang pergi ke sungai untuk mengambil wuhduk. Sedang beliau berjalan di dalam gelap, beliau terlanggar dengan banir pokok, dan secara melatah beliau berkata "La ilaaha illallahu Muhammadur Rasulullah". Apabila Harut dan Marut mendengar ungkapan tersebut, mereka pun berkata, "Alhamdulillah, sekarang sudah zaman Muhammad sebagai Rasul, bermakna dunia tak lama lagi akan kiamat dan akan tamatlah seksa kita."

Dan kata ustaz lagi, penghuni kubur yang beragama samawi (iaitu agama dari langit - agama-agama yang dibawa oleh rasul-rasul), tak tahan dengan siksa kubur yang berpanjangan hingga ke hari kiamat. Maka mereka berdoa kepada Allah supaya cepat-cepatlah kiamat supaya mereka dapat dipersoalkan di Mahsyar dan moga-moga Allah subhaana wa ta'ala, akan berikan kasihan belas kepada mereka memandangkan mereka telah lama menjalani siksa di alam kubur. Tambahan lagi Allah subhaana wa ta'ala telah janjikan bahawa setiap penganut agama samawi akan dimasukkan ke Syurga selepas disiksa di Neraka, jadi penyiksaan Neraka ada mempunyai hadnya yang tertentu. Dan kenikmatan mukatamad bagi mereka (dan juga kita) adalah di Syurga. Adanya.

Ustaz mengingatkan bahawa siksa kubur itu disebabkan oleh dua perkara. Pertama tak beristinja iaiatu tidak membersihkan anggota selepas melepaskan hajat kecil atau besar. Kedua, suka mengadu domba.

Anehnya, kata ustaz, yang hidup di dunia, tak putus-putus meminta supaya Allah subhaana wa ta'ala, mempertangguhkan kiamat kerana mereka berniat untuk bertaubat dan berbuat baik.

Begitulah fikir Pak Malau, yang berbilangan besar meminta supaya kiamat tu dipercepatkan dan yang sedikit (yang masih hidup) ingin supaya dilewatkan.

Dan Pak Malau ni masih lagi berjanji-janji. Tak teringat bahawa Pak Malau ni bukannya dagang bertempat di alam ini. Hanya menumpang lalu.

Sunday, February 26, 2006

Seri Mersing


seri mersing
lagu yang lama
lagu dikarang biduan dahulu
(2 x)

hati ku runsing gundah gelana
dimananya kah sayang
dimana tempat hendak mengadu
(2 x)

seri mersing
lagunya sayu
buat menghibur di masa sunyi
(2 x)

dimana tempat hendak mengadu
hancurlah hati sayang
hancur hati merana diri
(2 x)